Kebenaran itu hanya satu,
tak berbilang-bilang.
Kebenaran dapat diketahui dengan ilmu,
dan ilmu didapati dengan belajar.
Dan orang yang berada dalam kebenaran
hanyalah orang yang belajar ilmu yang benar.
Diriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:
(1)" أعربوا القرآن ; فإن من قرأ القرآن ، فأعربه ، فله بكل حرف عشر حسناتوكفارة عشر سيئات ، و رفع عشر درجات " .رواه الطبراني في الأوسط
“Pahamilah al-Quran, kerana barangsiapa yang membaca al-Quran lalu dia memahaminya maka dia akan mendapatkan sepuluh pahala, menghilangkan sepuluh keburukan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat.” (Riwayat Imam at-Thabrani di dalam al-Ausath)
Takhrij Hadits :
Hadits ini diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani di dalam Mu’jam al-Ausath,16/365 (no. 7789)dari Abdullah Ibn Mas’ud radiyallahu ‘anhu.
Diriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam :
(2)من قرأ القرآن فأعربه فله بكل حرف منه عشر حسنات ، ومن قرأه ولحن فيه فله بكل حرف حسنة.
“Barang siapa yang membaca al-Quran dan dia memahaminya, maka dia akan mendapatkan untuk setiap hurufnya sepuluh pahala. Dan barangsiapa yang membacanyalalu menjadi keliru dengan bacaannya, maka dia akan mendapatkan bagi setiap hurufnya satu pahala.”
Hadits ini (no. 2) hanya disebutkan oleh Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi di kitab aqidahnya Lum’atul I’tiqod an-Nahari Ila Sabilir Rasyaddi dalam bab ‘al-Quran adalah kalamullah’ dan juga kitabnya al-Burhan ms (38-39).
Status hadits :
Kedua hadits ini sangat dhaif (dhaif Jiddan) dengan dinilai dari segi jalur periwayatannya. Berkata al-Haitsami: “di dalam sanad hadits ini terdapat Nasyal yakni Ibnu Said bin Wardan al-Wardani yang matruk (ditolak haditsnya) dan Ishaq bin Rahuyah menganggapnya sebagai pendusta.”
Berkata al-Imam Muhammad Nashiruddin al-Albani di kitabnya Silsilah Ahadits Dhaifah , 5/347 (no.2348), katanya “Hadits ini maudhu’ (palsu)”, kemudian beliau membawakan perkataan al-Haitsami sebagaimana yang di atas dan juga perkataan at-Thayalisi dan Ibn Rahuyah yang menganggap Nasyal ini sebagai kadzdzab (pendusta).Katanya lagi berkaitan Nasyal beliau membawa perkataan Abu Sa’id an-Naqasy: “perawi dari adh-Dhahhak yang palsu (Nasyal adalah pemalsu hadits dari adh-Dhahhak)”.
Jika kita melihat di dalam kitabnya Syaikh Albani tentang perbahasan hadits ini, beliau menyatakan bahawa hadits ini (no. 1) memiliki hadits yang lain yang hampir sama dengannya dari jalur periwayatan dari Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas dan Abu Hurairah, namun tidak ada yang shahih kerana sebahagian jalan-jalan hadits tersebut ada yang sangat lemah, katanya : “Dan telah ditakhrij hadits (dari jalan Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas dan Abu Hurairah) pada permulaan kitab ini pada hadits bernombor 1344-1347 dengan lafaz I’rabu.. (fahamilah..)”.(Silsilah Ahadits Dhaifah , 5/347 (no.2348))
Dengan demikian maka hadits ini telah dihukum sebagai palsu mengikut pendapat Imam Albani dan berdasarkan kepada pendapat para Imam Ahlu Hadits yang lainnya berkaitan dengan perawi yang bernama Nasyal (Ibnu Said bin Wardan al-Wardani).
Hadits yang shahih berkaitan dengan masalah ini
Berkaitan dengan hadits bagi setiap huruf dalam bacaan al-Quran akan mendapatkan 10 kebaikan (pahala), ada hadits yang shahih dari Ibnu Mas’ud, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :
“barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran, maka baginya satu kebaikan. Dan setiap kebaikan akan berganda sehingga 10 kebaikan. Aku tidak mengatakan alif lam mim satu huruf {الـم}, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf”
Riwayat Imam at-Tirmidzi dikitabnya Sunnan Tirmidzi no. 2910, Imam Bukhari di kitab Tarikh, dan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak. Berkata Syaikh Albani hadits ini Shahih, As-Shahihah no. 3327.
Berkaitan dengan al-Quran, saya telah membahasnya di dalam tulisan yang sebelum ini.
Ia adalah merupakan kebalikan (lawan) kepada kepentingan memahami dan mentadabburi al-Quran. Jika dengan memahami al-Quran dapat menjadi peringatan, rahmat, petunjuk, berkah, maka dengan melalaikan al-Quran dapat menghilangkan segala kelebihan yang didapati tatkala memahami al-Quran.
Dengan al-Quran seseorang mengenal tauhid, maka melalaikan al-Quran akan mengakibatkan mereka terjerumus kepada kesyirikan lantas kerana kebodohan mereka tentang tauhid uluhiyah, rububiyah dan asma’ wa sifat.
Dengan al-Quran dapat menaikkan dan mengembangkan iman, maka melalaikan al-Quran menjadikan iman rendah dan mengecut. Apa yang ditakuti ialah kekerasan dan dikunci mati hati kita kerana melalaikan al-Quran.
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?”(QS. Muhammad 47:24)
“Sesungguhnya ayat-ayatKu (Al Quran) selalu dibacakan kepada kamu sekalian, maka kamu selalu berpaling ke belakang, dengan menyombongkan diri terhadap Al Quran itu dan mengucapkan perkataan-perkataan keji terhadapnya di waktu kamu bercakap-cakap di malam hari. Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?” (QS. al-Mu’minun 23:66-68)
Nabi shallallhu ‘alahi wa sallam bersabda:
Jagalah al-Quran ini, kerana sesungguhnya ia lebih mudah lepas dari seekor unta dalam ikatannya. (Shahih : Riwayat Bukhari di dalam Shahih nya no. 4645)
Para mufassirin menafsirkan firman Allah di dalam surah Muhammad pada ayat 24, sebahagian mereka berkata :
"Hati tidak dapat memahaminya."
Berkata Shab dari negeri Yaman : “akan tetapi pada hati mereka ada kunci, sehinggalah Allah azza wa jalla membuka dan melepaskan kunci tersebut pada hati mereka.” (Tafsir at-Thabari 22/180, Ibnu Jarir at-Thabari)
Awal permulaan perbuatan mereka melalaikan al-Quran adalah dengan meninggalkan melazimi membaca al-Quran. Kemudian kemalasan anggota badan mereka untuk memahami dan menuntut ilmu al-Quran (ilmu tauhid, fiqh dll). Dan akhirnya mereka tidak dapat memahami al-Quran, walaupun dibaca kepada mereka berkali-kali.
Kemudian timbul sikap menentang terhadap al-Quran dan tidak ada usaha untuk kembali memahami serta tadabbur. Kerana Allah telah mengunci mati hati mereka, mereka selamanya dalam keadaan begitu (tidak memahami al-Quran dan lalai), sehinggalah Allah mengeluarkan mereka dari keadaan itu dan membuka hati mereka untuk Islam. Itulah natijah yang didapati pada orang yang berpaling dari al-Quran. Sedangkan al-Quran wahyu, di dalamnya terkandung terkandung ilmu tentang Allah, agama ini, hari kebangkitan dan segala hal yang besar yang tidak dapat dibicarakan oleh aqal manusia sesuka hati.
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalamDia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS. al-‘Alaq 96:1-5)
Kerana itu seorang muslim perlu memerhatikan keadaan dirinya supaya tidak terjerumus di dalam kelalaian. Ia merupakan satu bentuk tipu daya syaitan supaya seorang muslim itu leka dan terjerumus dalam talbisnya (perangkap) yang sentiasa dinanti oleh mereka, bila agaknya seorang muslim dapat tertipu olehnya. Akibat buruk daripada sikap lalai telah pun kami bahaskan sebelum ini.
Adakah kita telah mentadabburi al-Quran atau kita tidak mahu mentadabburi al-Quran?
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?”(QS. Muhammad 47:24
Inilah persoalan pokok bagi setiap muslim. Sewajarnya mereka bertanya kepada diri mereka sendiri. Mengapa aku perlu membaca al-Quran? Apa yang aku dapat dengan al-Quran? Persoalan begini sebenarnya merupakan tempelak bagi mereka. Agar mereka sedar dan mengerti bahawa mereka dicipta dan hidup bukan hanya untuk bersenang-lenang. Mereka ada misi dan tujuan yang lebih besar dari usaha yang mereka lakukan bagi memenuhkan perut dan nafsu mereka. Iaitu mentauhidkan Allah dan menjauhi thagut. Kerana apabila mereka memerhatikan al-Quran, mereka akan mengenal Allah. Mengenal syariat dan perintah-Nya, dan dengan al-Quran mereka tahu bahawa tidak ada kebenaran melainkan apa yang telah termaktub di dalam al-Quran.
Dan dari situ mereka akan meninggalkan segala bentuk penyembahan kepada selain Allah dan mewujudkan hakikat (kebenaran) 'ubudiyah kepada Allah. Semua itu bermula dengan usaha mereka mempelajari al-Quran dan mentadabburinya.
Sebab-sebab mengapa kita perlu memahami/mentadabburi al-Quran
1)Sebagai Petunjuk, Rahmat, Penawar, Pelajaran.
Syaikh Abdur Razzaq al-‘Abbad ketika menghuraikan sebab-sebab faedah hasil perenungan terhadap al-Quran, beliau mengatakan :
Allah telah menurunkan Kitab-Nya yang nyata kepada hamba-Nya sebagai petunjuk, rahmat, pelita, cahaya, kabar gembira dan peringatan bagi orang yang mengambil pelajaran. Allah ta’ala berfirman : “Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi; membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya…”(QS. al-An’am 6:92)
“Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.”(QS. al-An’am 6:155)
“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”(QS. al-A’raf 7:52)
“....Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.”(QS. al-Nahl 16:89)
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”(QS. Shad 38:29)
“Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu'min yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar,”(QS. al-Isra’ 17:9)
“Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”(QS. al-Isra’ 17:82)
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.”(QS. Qaff 50:37)
Ayat-ayat yang mulia ini menjelaskan keutamaan al-Quranul Karim, Kitab Rabb semesta alam. Allah menjadikannya penuh dengan keberkahan dan sebagai petunjuk bagi semesta alam. Allah menjadikan ubat di dalamnya untuk berbagai macam penyakit, terutama penyakit hati berupa syubhat dan syahwat.
Allah menjadikannya sebagai kabar gembira dan rahmat bagi semesta alam, juga sebagai peringatan bagi orang-orang yang selalu mengambil pelajaran. Allah menjadikannya sebagai petunjuk kepada jalan yang lurus. Di dalamnya mengungkapkan tanda-tanda kekuasaan-Nya juga ancaman-ancaman-Nya agar mereka selalu bertaqwa dan beringat. [1]
Dengan begini jelas dalil yang diutarakan, adakah kita masih lagi kabur tentang kepentingan memahami al-Quran? Tidak ada cara pintas untuk kita memahami al-Quran melainkan kita mulakan dengan membacanya, kemudian melihat tafsir-tafsirnya dari para Mufassirin (pakar tafsir). Inilah cara terbaik untuk mentadabburi dan memahami al-Quran.
2)Al-Quran memiliki perintah mentauhidkan Allah
Ibnul Qayyim berkata :
"Bahawasanya seluruh ayat dalam al-Quran terkandung padanya Tauhid, yang mempersaksikan dan selalu menyeru kepadanya. Kerana kandungan al-Quran, kalau tidak berisi pemberitaan tentang Allah, nama-nama, Sifat-Sifat serta perbuatan-Nya dan ini adalah tauhid ilmi wal khabari (ilmu dan pemberitaan), maka isinya adalah dakwah kepada peribadahan hanya untuk Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya dan meninggalkan semua yang disembah selain Allah dan ini adalah tauhid al-irodiy wa at-tholabiy (kehendak dan tuntutan) .
Selain itu, isi al-Quran kalau bukan berupa perintah, larangan dan kewajipan untuk mentaati Allah dalam larangan dan perintahnya – dan ini adalah hak-hak tauhid dan penyempurnanya-, maka isinya adalah pemberitaan tentang karomah Allah terhadap orang-orang yang bertauhid dan yang taat kepada-Nya, dan apa-apa yang ditentukan baginya di dunia dan perkara-perkara yang menyebabkan mereka mulia di akhirat dan ini adalah balasan mentauhidkan Allah.
Al-Quran juga mengandung pemberitaan tentang pelak kesyirikan dan apa-apa yang Allah tentukan baginya di dunia serta berbagai balasan di dunia yang menyengsarakan mereka, dan apa saja yang akan menimpa mereka kelak dari berbagai azab, ini merupakan pemberitaan mengenai orang-orang yang keluar dari ketentuan hukum tauhid. Maka seluruh al-Quran mengandungi perkara tauhid, hak-haknya dan balasannya. Begitu juga perkara syirik, pelakunya serta balasan untuk mereka.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Yang menguasai hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan Tunjukilah kami jalan yang lurus, (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (QS. al-Fatihah 1:1-7) [2]
Tidak kah kamu memerhatikan wahai saudaraku, betapa tingginya nilai tauhid apabila kita merenungi al-Quran. Dan inilah jawapan bagi peroalan di atas, kita perlu memahami al-Quran kerana kewajipan kita merealisasikan ‘ubudiyah pada Allah berupa Tauhid dan Taqwa. Dan perkara ini tidak tercapai dengan angan-angan, namun dengan usaha.
Mulakan langkahmu dengan belajar memahami al-Quran. Nescaya kamu akan mengetahui bagaimana Nabi dan para sahabat nya layak diredhai oleh Allah. Dan dari situ kamu akan menjadi sebahagian dari mereka. Kepada Allah kita memohon taufiq.
3) Kandungan al-Quran mengembang dan menaikkan iman.
Jika dilihat, para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, mereka sentiasa berlumba-lumba untuk menaikkan iman mereka. Mereka menekuni untuk membaca al-Quran dengan kadar tadabbur yang paling tinggi. Kerana mereka mengerti, mereka akan mengenal Tuhan mereka andai kata mereka meneliti al-Quran. Semakin mereka mengenal Tuhan mereka, semakin bertambah iman mereka. Kemudian melahirkan rasa takut kepada Pencipta mereka. Merasa betapa kerdilnya diri. Itulah orang mukmin yang telah diceritakan oleh Allah dalam al-Quran, dan mukmin yang dimaksudkan, tidak lain mereka adalah Para Sahabat ridhwanallah 'alaihim jamii'an.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”(QS. al-Anfal 8:2)
Berkata Ibnul Qayyim rahimahullah : Seorang hamba akan sentiasa mengambil manfaat hasil dari tadabbur mereka pada kitabullah. Hatinya akan terasa bahawa di dalamnya terkandung banyak ilmu yang dapat menambahkan keimanan dan memperkuatkannya. Bagaimana tidak ? Sementara di dalamnya dia bertemu Raja Yang Agung, Maha Pengasih, dermawan dan Indah.
Demikianlah adanya. Dia akan mencintainya dan berlumba-lumba untuk mendekatkan diri pada-Nya, menginfakkan nafasnya di dalam mencintai-Nya. Allah akan ia cintai dari yang lain. Dia akan mementingkan redha-Nya dari keredhaan yang lain.
Ia akan gemar berzikir kepada-Nya, mencintai-Nya, merindukan-Nya dan merasa tidak tertahan dengan-Nya. Zikir adalah makanannya, kekuatannya dan ubatnya. Jika zikir itu rosak, maka ia akan rosak dan hancur dan tidak dapat mengambil manfaat dari kehidupannya. [3]
Berkata al-Ajurri rahimahullah : Dan barangsiapa yang merenungi kalam-Nya, nescaya dia akan mengenal Rabb-nya, mengetahui besarnya kerajaan dan kekuasaannya, mengetahui besarnya kurnia yang diberikan kepada orang-orang yang beriman, mengetahui ibadah yang diwajibkan kepadanya sehingga ia akibat dari manfaat tadi, dia menjauhi segala hal yang dialrang oleh kekasihnya Yang Mulia. Dia akan mencintai segala hal yang dicintai oleh kekasihnya. Barangsiapa yang memiliki sifat seperti itu ketika membaca al-Quran dan ketika mendengarnya dari orang lain, maka al-Quran merupakan ubat baginya, sehingga dia merasa kaya walaupun tidak memiliki harta, dia akan merasa mulia walau tidak memiliki keluarga.
Ia akan merasa tahan dengan apa yang orang lain takuti. Pertanyaan yang sering dia fikirkan ketika membaca al-Quran adalah, ”bilakah aku dapat mengambil manfaat dari bacaan Quran ku ini?”. bukannya ”bilakah aku dapat menghabiskan bacaan ku ini?”. Aku bertekad untuk dapat memahami memetik faedah dari bacaan darinya. Kerana ibadah bacaan al-Quran tidak dapat dilakukan dalam keadaan lalai. Hanya Allah-lah yang dapat memberi pertolongan dalam semua itu. [4]
Kerana itulah Allah memerintahkan orang-orang supaya merenungi kandungan al-Quran dan mendorong mereka. Firman Allah ta’ala:
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalau kiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.”(QS. an-Nisa’ 4:82)
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?”(QS. Muhammad 47:24)
Dan Allah telah mengkhabarkan bahawa al-Quran diturunkan supaya direnungi dan di tadabburi.
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”(QS. Shaad 38:29) [5]
Ana bertanya, apa yang paling bernilai selain iman wahai akhi? Kita sering bercerita tentang generasi al-Quran yang unik, namun kita kosong dari usaha seperti mereka. Jika kita melihat sirah mereka, kita dapat melihat iman mereka bertambah dengan bacaan, tadabbur mereka terhadap al-Quran. Sangat sedikit sekali orang seperti mereka di zaman ini yang merenungi al-Quran, apatah lagi tersentuh dengan bacaan al-Quran.
Iman bertambah dengan ketaatan, dan berkurang kerana maksiat. Membaca, mentadabburi al-Quran merupakan ketaatan. Tapi kita tidak hanya dituntut membaca kerana di sana ada lagi tuntutan utama yang InsyaAllah akan dibahas nanti.
Seterusnya, Ibnul Qayyim menyimpulkan akibat dari usaha membaca, memahami, mentadabburi al-Quran. Beliau berkata :
"Kesimpulannya tidak ada yang lebih bermanfaat bagi hati daripada membaca al-Quran dengan penuh perenungan dan penghayatan, kerana sesungguhnya al-Quran telah mengumpulkan semua kedudukan orang-orang yang menempuh kebaikan, keadaan orang-orang yang selalu menempuh kebaikan, dan kedudukan orang-orang yang arif (tahu).
Al-Quran lah yang dapat menimbulkan rasa cinta, kerinduan, takut, pengharapan, kembali, tawakkal, penyerahan, syukur, bersabar dan semua keadaan yang dengannya hati menjadi hidup lagi sempurna. Al-Quran pun dapat menjauhkan seseorang dari segala sifat dan perbuatan yang tercela yang menjadi sumber keursakan dan bencana bagi hati".[6]
Ana katakan, jika kita hendak menjadi baik, al-Quran telah menerangkan caranya. Maka renungilah! Jika ingin mengetahui apa yang dianugerahkan kepada orang-orang yang muhsinin (yang berbuat baik)? Maka renungilah al-Quran nescaya kita ingin seperti mereka.
“agar Allah akan menutupi (mengampuni) bagi mereka perbuatan yang paling buruk yang mereka kerjakan dan membalas mereka dengan upah yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”(QS. az-Zumar 39:35)
Selanjutnya Ibnul Qayyim berkata : Seandainya mausia mengetahui manfaat yang didapati tatkala membaca al-Quran dengan penuh penghayatan, nescaya dia akan menyibukkan dirinya dengannya dari yang lain. Jika dia membacanya dengan penghayatan, maka ketika ia melalui suatu ayat yang diharapkan/diperlukan untuk mengubati hatinya, ia akan mengulang-ngulangnya seratus kali atau menghabiskan satu malam.
Membaca satu ayat dengan penuh penghayatan dan pemahaman makna. Merenungkan bacaan al-Quran lebih bermanfaat bagi hati dan lebih berpotensi untuk meningkatkan keimanan dan merasakan manisnya al-Quran. [7]
Dengan membaca al-Quran, dapat menaikkan iman kita, dengan membaca al-Quran kita mengenal Allah, dengan membaca merenungi al-Quran kita mendapat rahmat, petunjuk. Lalu di mana usaha kita untuk mendapatkannya? Bersegeralah kepada kebaikan. Kerana Allah akan membimbing kita apabila kita ingin mengenal-Nya, mendekat diri pada-Nya.
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”(QS. al-Ankabut 29:69)
4) Sebab-sebab lain
Syaikh Abdur Razzaq telah membahas secara tuntas (dengan detail) bab ini dalam bukunya Asbabul Ziyaadatu Iman Wa Nuqshabihi, beliau menukil dari Syaikh Muhammad Rasyid Redha : "Dan ketahuilah sesungguhnya kekuatan agama dan kesempurnaan iman juga keyakinan , keduanya tidak akan bisa dihasilkan kecuali dengan banyak membaca al-Quran dan mendengarkannya, disertai tadabbur dengan niat untuk mengambil petunjuk juga mengamalkan perintah dan menjauhi larangannya.
Maka keimanan yang penuh dengan ketundukan yang benar akan bertambah, semakin kuat, berkembang dan menimbulkan pengaruh berupa amal-amal shalih. Tidak hanya itu, ia juga meninggalkan kemaksiatan dan kerusakan sesuai dengan kadar penghayatan al-Quran yang dilakukannya. Iman akan berkurang dan melemah ketika seseorang tidak mentadabburi al-Quran."[8]
Dengan beberapa poin yang diutarakan di atas, semoga ia dapat membantu dan memotivasi diri kita untuk menekuni membaca al-Quran. Dan inilah yang dilalui oleh generasi terbaik umat ini, mereka telah terlebih dahulu mendahului kita dalam beramal.
Footnote : [1]Kitab Duduklah Sejenak Bersama Kami Untuk Menambah Iman, Syaikh Abdur Razzaq Abdul Muhsin al-‘Abbad terbitan Pustaka Ibnu Katsir.
[2] Madarijus Salikin 3/449-450 oleh Ibnu Qayyim, dinukil dari kitab Syaikh Abdur Razzaq al-‘Abbad, Mengapa Tauhid Dibagi Menjadi Tiga.
[3] Ibnul Qayyim, al-Fawaaid, dinukil dari kitabKitab Duduklah Sejenak Bersama Kami Untuk Menambah Iman, Syaikh Abdur Razzaq Abdul Muhsin al-‘Abbad terbitan Pustaka Ibnu Katsir.
Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :"Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (Hadits Riwayat Bukhari dalam shahihnya)
Seorang muslim panduan mereka adalah al-Quran. Sangat aneh jika ada muslim yang tidak mengenal al-Quran, andai kata mereka tidak kenal. Kami di sini ingin memperkenalkan. Andai kata ada yang bertanya, bagaimana kaum muslimin terdahulu Berjaya dengan al-Quran. Di sini kami menguraikan sebab-sebab nya InsyaAllah bi Iznillah. Andai ada yang ingin menjadi seperti generasi al-Quran, di sini kami susun cara dan gayanya.
Ini bukanlah satu projek yang memerlukan berjuta Ringgit untuk dilaksanakan. Bukan pula beribu dan beratus ringgit. Hanya perlu meluangkan beberapa minit untuk memerhatikan risalah yang kecil ini yang disusun bagi menerangkan dan membantu kefahaman kita bersama, tentang pentingnya kita memerhatikan al-Quran agar kita menjadi mulia di sisi Pencipta kita. Agar kita tahu apa yang diperintahkan kepada kita selaku hamba.
Hal itu tidak lain kita akan kita ketahuinya dengan cara kita memerhati dan mentadabburi al-Quran. Ana mulakan dari pengenalan al-Quran supaya kita lebih mengerti dengan detail tentang Kitab ini.
Apa itu al-Quran? Berkata Ibnu Qudamah al-Maqdisi ketika membahas mengenai al-Quran di dalam Kitab Lum'atul I'tiqad :
"Al-Quran adalah kalamullah (perkataan Allah). Al-Quran merupakan kitab Allah yang jelas, memiliki ikatan yang kuat dengan-Nya, ia adalah (penunjuk) jalan-Nya yang lurus.
Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan dari Rabb semesta alam, yang dibawa oleh Jibril yang terpercaya dan disampaikan kepada sang pemimpin rasul (Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam).
Al-Quran diturunkan dengan bahasa arab yang jelas, ia bukan makhluk (ciptaan Allah), dari Allah-lah ia datang. Dan kepada-Nyalah ia kembali.
Al-Quran berisi surat-surat yang jelas, ayat-ayat yag terang, begitu pula huruf-huruf dan kalimat-kalimatnya. Barangsiapa yang membacanya, ia akan dapat menguraikan kalimat-kalimatnya, dan akan diberi sepuluh pahala di setiap hurufnya. Di dalam al-Quran terdapat bagian awal dan akhir, serta mengandung bagian dan unsur.
Al-Quran dibaca oleh banyak lisan, di hafal di dalam dada-dada. Didengar oleh banyak telinga dan tertulis di lembaran-lembaran. Di dalamnya terdapat ayat-ayat yang jelas dan ayat-ayat yang samar, terdapat nasikh (ayat-ayat yang menghapus hukum) dan mansukh(ayat-ayat yang dihapus hukumnya), terdapat ayat-ayat yang khusus dan umum hukumnya, juga terdapat perintah dan larangan.
“Yang tidak datang kepadanya (Al Quran) kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji”.(QS. Fushshilat 41:41)
“Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain." (QS. Al-Isra’ 17:88)"[1]
Syaikh Shalih Fauzan al-Fauzan berkata : "Sesungguhnya nikmat terbesar, yang mana nikmat ini Allah memuliakan umat manusia ialah dengan diutusnya Muhammad dan diturunkan al-Quranul Karim kepada beliau dan menunjukkan umat manusia, membuka mata mereka dan mengingatkan kepada segala sesuatu yang bermanfaat bagi mereka baik di dunia dan akhirat."[2]
Al-Quran merupakan nikmat terbesar yang dimiliki oleh umat manusia. Masakan tidak? Dengan al-Quran mereka mengenal tuhan mereka. Mereka tidak perlu mengambil kayu, batu dan selainnya sebagai sembahan. Dengan al-Quran, mereka mengetahui bahawa Allah-lah pencipta dan ilah (yang berhak disembah) untuk mereka. Andai kata tidak diturunkan al-Quran, ataupun mereka tidak mengetahui nikmat ini, pastinya mereka akan merana di akhirat kelak. Hidup mereka dalam kesengsaraan.
Kerana mereka telah mensyirikkan Allah dan mereka akan menerima balasan akibat perbuatan mereka.
Dari mana ia datang? Syaikh Muhammad Ibn Shalih Utsaimin ketika mensyarah Kitab Lum’atul I’tiqad, berkaitan dengan hal ini beliau menyertakan ayat Quran
“Maha suci Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam” (QS. al-Furqan 25:1)
Maka apabila kita telah mengetahui bahawa al-Quran dari Allah, Tuhan yang tidak Ilah selain-Nya. Tidak ada yang dapat menandingi-Nya, dan tidak ada yang dapat menyamai-Nya, hati kita pasti bergetar kerana kita merasa kekerdilan diri kita di hadapan Pencipta kita, Pengatur hidup kita, Dzat yang mematikan dan menghidupkan. Andai kata jika Dia berkehendak kita mati, tidak ada yang dapat menghalang-Nya. Itulah Penguasa kita. Kita akan lebih mengenali diri-Nya selagi mana kita memerhatikan Kalam-Nya. Anda ingin mengenali-Nya dengan lebih detail? Maka perhatikanlah kalam-Nya.
Dan setelah kita mengetahui dari mana kitab ini datang, ia datang dari Allah. Orang yang luhur hatinya, bersih dan cerah bashirahnya (mata hati), orang yang tunduk dan khusyu’. Pastinya mereka menumpukan perhatian terhadap apa yang diturunkan kepada mereka. Kerana mereka mengetahui, ia datang dari Tuhan yang Maha Agung, Tuhan Yang Maha Besar. Tidak ada ruang bagi mereka untuk melalaikan isi al-Quran.
Inilah cara para Sahabat, generasi yang diturunkan al-Quran di zaman mereka, di depan mereka, Rasul yang mulia menyampaikan kepada mereka secara langsung. Beginilah cara mereka beragama dan bermuamalah dengan Allah. Mereka tekun mendengar al-Quran dan merendah diri. Kerana mereka tahu bahawa al-Quran adalah kalamullah dan bukan syair, bukan juga rekaan Muhammad. Tetapi ia datang dari Tuhan Pencipta diri mereka, Pencipta alam ini.
Dan kita akan selamat sebagaimana para anbiya’, Syuhada’, orang-orang yang shalih Kerana apabila kita mengenal Allah, dan dihadiri dengan Taufiq dari-Nya untuk beramal, itulah petanda keselamatan pada diri kita. Jadi tidak ada alasan untuk kita meninggalkan usaha untuk memahami al-Quran. Dan di antara Rahmat-Nya adalah mengizinkan kita mengenal al-Quran.
Footnote : [1] Lum’atul I’tiqad oleh Ibn Qudamah, edisi terjemahan Indonesia Pokok-Pokok Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah. [2] Tadabburul Quran oleh Syaikh Shalih Fauzan, edisi terjemahan Indonesia Tadabbur al-Quran.
Hanya berkongsi manfaat yang telah dianugerahkan oleh Allah Yang Maha Perkasa.
Aku bukan orang yang alim, tapi ingin menjadi alim kerana org yg alim sahaja yang takut pada Tuhannya.
Aku ingin berkongsi bukan mengajari.
Guruku..Ust Abu Farouq (Manhaj,Aqidah, Fiqh).
Dr Sulaiman Noordin (Manhaj,Aqidah).
Ust Abdul Wahab Bustami (Hadis,Aqidah,Manhaj,Fiqh, Ruddud).