019 - Nasihatku Untukmu

Nasihatku Untukmu

Firman Allah Ta’ala :

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. (QS. al’asr 103:1-3)

Dari Tamim ad-Dari radiyallahu anhu : Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda ;

“Agama itu adalah nasihat”, kami bertanya, : “kepada siapa”? Beliau menjawab : “untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat islam dan bagi seluruh kaum muslimin”. (Shahih : HR Imam Muslim no. 55)

Dua dalil di atas merupakan antara banyak dalil yang menunjukkan kepentingan memberi nasihat. Nasihat merupakan tunjang dalam islam, sehinggakan Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam menjelaskan bahawa agama itu adalah nasihat. Beliau juga menjelaskan dengan terperinci kepada siapa nasihat itu perlu disampaikan. Bermula dari Allah, Kitab dan seterusnya sebagimana hadits di atas. Dengan itu, maka orang-orang yang menganut agama islam akan merasakan kenikmatan dan rahmat kerana memeluk islam.

Dengan nasihat, segala yang buruk bertukar menjadi baik. Segala yang tercela dirubah menjadi mulia, segala yang haram dirubah menjadi halal, dan begitulah seterusnya, segala hal-hal yang berunsur negatif dirubah dengan nasihat menjadi positif. Tidakkah ini dinamakan rahmat?

Dinukil dari kitab Syarah Arba’in an-Nawawiyah oleh Ibnu Daqiqil ‘Ied. Beliau berkata :

“Nasihat itu adalah segala hal yang baik (bermakna segala hal yang mewujudkan kebaikan). Kalimat ; Agama adalah nasihat maksudnya adalah tiang dan tunjang agama sebagaimana sabdanya “haji adalah arafah ” yang bermaksud wukuf di arafah adalah tiang dan bagian terpenting haji.” (Syarah Arba’in hadits yang ke-7 oleh Ibnu Daqiqil ‘Ied)

Begitulah keterangan mengenai, nasihat itu merupakan tujang dan perkara penting di dalam agama. Itulah syariat dari Allah jalla Wa ‘ala kepada hamba-Nya, betapa Bijakasana dan Mulia nya Allah, Tuhan yang maha Adil.

Firman Allah “nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran”, Allah menetapkan bahawa manusia tidak akan berada di dalam kerugian selagi mana dia melaksanakan 4 perkara di dalam surah al-‘asr ini dan di antaranya berpesan-pesan, nasehat menasehati. Maka apabila dia melaksanakan hal tersebut, dia tidak akan merugi.

Dan nasihat merupakan salah satu dari syarat kesempurnaan Iman seseorang hamba. Adakah kita mahu memiliki sesuatu barang yang tidak sempurna sifat dan dztanya, pasti tidak! Begitulah juga dengan keimanan, pastinya kita tidak mahu iman yang tidak sempurna, dengan itu nasihat-menasihati merupakan salah-satu syarat kesempurnaan iman. Dengan nasihat menasihati, maka manusia akan sentiasa berkasih sayang.

Orang yang menasihati memiliki sifat belas kasihan kepada orang yang dinasihati, kerana orang yang dinasihati mungkin melakukan kesalahan dan kesilapan. Dan orang yang dinasihati sedar akan kesalahannya dan berterima kasih orang yang menasihati kerana kejujuran dan sifatnya yang mulia. Maka di sini wujudlah kasih sayang antara mereka.
Ini berdasarkan hadits dari Anas bin Malik radiyallahu anhu, sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam :

“Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai milik saudaranya seperti mana dia mencintai miliknya sendiri”. (Shahih : HR Imam Bukhari no. 13 dan Imam Muslim no. 45)

Untuk menyatakan bahawa seorang muslim menyintai kebaikan pada dirinya dan dia menginginkan kebaikan kepada saudaranya, pastinya dengan jalan memberi nasihat.

Terdetik di hati kecilku untuk menegur dan menasihati saudaraku seagama dalam beberapa hal yang terlihat padaku kesalahan yang boleh mengakibatkan keburukan yang lebih besar. Risalah kecil ini, aku titipkan untuk kalian (aku tulis dan tinggalkan untuk antum) dengan penuh rendah diri dan aku mengharapkan pertolongan Allah agar antum mengenal kebenaran dan memperbaiki kesalahan dari diri-diri antum. Bukanlah bermakna ana menghakimi antum, akan tetapi jika perbuatan di antara antum jelas-jelas menyelisihi al-Quran dan Sunnah, adakah antum ingin katakan antum benar dan ana salah kerana menasihati antum? Hanya orang yang sempurna kebodohan dan hilang aqalnya saja yang berani mengucapkan hal tersebut.

Beberapa hal yang ana ingin sampaikan ialah :

Nasihat pertama : Perbetulkan aqidahmu

Majoriti ikhwah yang ana tanyakan, “sebutkan 5 nama ulama ahlu sunnah wal jamaah”, kebanyakan dari mereka gagal memberikan jawapan. Tidak kurang juga yang ragu dengan jawapan mereka berikan. Lalu ana tanyakan “jadi bagaimana antum boleh mengatakan antum ahlu sunnah wal jamaah, sedangkan antum tidak mengenal ulama ahlu sunnah?”.

Ana juga pernah bertanya, “berapa banyak kitab aqidah yang antum pernah pelajari?”. Rata-rata tidak menjawap, boleh jadi mereka tidak tahu apa itu kitab aqidah. Ada juga ana bertanya, “kitab aqidah apa yang telah antum telaah?”. Ada yang mengembalikan jawapan ini kepada ana lalu ana sebutkan sebahagian yang telah ana pelajari melalui pembacaan dan talaqqi.

Dan pertanyaan sering ana tanyakan, yang menunjukkan sah atau tidak iman seseorang itu, atau adakah dia layak dikatakan mukmin atau mukminah. Pertanyaan asas iaitu “selama antum hidup 10 dan 20 tahun ni, dan antum pelajari mengenai Allah, di mana Allah?”. Berbagai jawapan ana terima, ada yang menjawap Allah tidak bertempat, Allah di mana-mana, Allahu a’lam (aku tidak tahu).

Lihatlah wahai saudaraku, betapa banyak kaum muslimin yang tidak mengenal aqidah yang sahih. Masakan ingin mengenal aqidah yang sahih, ulama yang sepatutnya dia mengambil ilmu pun tidak dia kenal, karangan-karangan dan peninggalan mereka, iman yang benar atau tidak, pun ini tidak diketahui bagaimana ingin dikatakan mereka mengenal aqidah yang sahih? Lalu bagaimana keadaan mereka sehari-hari dalam meniti kehidupan dan ingin menjadi orang yang soleh, namun tidak memulai dengan aqidah yang sahih dan usaha untuk memahaminya serta, apa yang mereka lakukan untuk mewujudkan kesolehan dalam diri mereka?

Nasihatku kepadamu wahai saudaraku, ubahlah keadaan dirimu. Jadilah thulabul ilmi (penuntut ilmu), seringlah antum mengkaji kitab-kitab aqidah dan manhaj. Carilah buku-buku para Imam Mujtahid (inilah yang mudah bagi antum), kerana telah banyak tersebarnya buku-buku ini. Dan yang terpenting, antum mengenal siapa ulama ahlu sunnah dan kitab-kitab mereka. Kerana telah tersebar saat ini pembohongan dan penipuan dari tangan-tangan keji dan kotor para al-Kadzdzab (pendusta) mengenai manhaj Ahlu sunnah. Untuk memudahkan antum, kajilah dan carilah kitab ini, semuanya telah diterjemahkan

1) Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafii
2) Ushulus Sunnah oleh Imam Ahmad bin Hanbal
3) Al-Ibanah an-Ushulid diyanah oleh Imam Abul Hasan asy’ari
4) Aqidah Salaf ashabul hadits oleh Imam Abu Ismail as-Shobuni
5) Ahlu Sunnah I’tiqad wa I’tiqad ad-Dien oleh Imam Ibnu Abi Hatim Ar-Razi
6) Aqidah Ath-Thahawiyah oleh Imam Abu Ja’far ath-Thahawi

Ada yang bertanya, “kenapa perbesarkan hal ini, bukankah mereka beriman kepada Allah dan rasul serta rukun-rukun yang lain?”. Ana menjawab “benar”, akan tetapi keimanan yang sah adalah mengimani dan membenarkan keseluruhan risalah yang diturunkan tanpa mengubah dari yang asalnya. Perhatikan dalam persoalan Di mana Allah, Allah telah mengkhabarkan di dalam al-Quran pada enam tempat. Kemudian hadits-hadits yang sahih menyatakan bahawa Allah berada di atas langit yang ketujuh, istiwa’ di arsy-Nya.

Namun hakikat orang yang beriman yang dijumpai pada hari ini, mereka menjawab jawapan selain yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah, adakah benar imannya itu?

Jawapan yang muncul membuktikan bahawa mereka itu, tidak kira waimma dia seorang ustaz, da’ie, orang awam, mereka tidak memberikan jawapan yang bertepatan dengan manhaj Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Silakan antum menyemak Tafsir Ibnu Katsir pada ayat ke 54 Surah al-A’raf. (InsyaAllah akan ada risalah khusus dalam membahaskan masalah ini)

Kemudian perhatikan pula, mereka-mereka yang tidak mengenal ulama ahlu sunnah. Andai kata datang satu guru yang berfahaman Murji’ah dan mengatakan kepada mereka bahawa keimanan manusia itu absolute, tidak bertambah dan berkurang. Perbuatannya tidak mempengaruhi imannya, waimma dia memaki nabi, mencela al-Quran dan seterusnya. Adakah benar iman orang yang menuntut darinya? Jika dia menuntut ilmu dari seorang murji’i, maka jadi murji’ah lah dia, jika dia menuntut dari seorang syi’i, maka menjadi syiah lah dia. Jadi adakah kita perlu mendiamkan diri dan membiarkan manusia terjebak ke dalam kesesatan oleh kerana tidak mengenal ulama sunnah dan manhaj ahlu sunnah?

Keimanan yang sah adalah mengimani segala keterangan yang diturunkan oleh Allah dan mengikut ajaran Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Kerana di akhir zaman, banyaknya orang yang mendakwa mengikut al-Quran dan Sunnah, namun hakikatnya perlakuan mereka bertolak belakang (bertentangan) dengan al-Quran dan Sunnah. Andai kata dalam persoalan khilaf, itu tidak perlu dipersoalkan, Cuma saja perlu difahamkan dahulu bahawa khilaf itu adakah dibenarkan oleh syariat atau tidak. Apakah khilaf itu berkaitan dengan aqidah atau tidak. Apakah ia seputar (berhubung) perbezaan memahami nash atau tidak. Apakah ia khilaf kerana fanatik dan ta’shub dalam hal ketiadaan dalil, dan begitulah seterusnya.

Nabi telah mengkhabarkan bahawa di akhir zaman, akan terjadi perubahan kepada ajaran-ajaran beliau. Sebagaimana disebutkan di dalam hadits Hudzaifah al-Yamani radiyallahu anhu:

Aku bertanya : “apakah setelah keburukan itu ada kebaikan”, beliau menjawab, “ya, namun di dalamnya ada asap (dakhan)”. Aku bertanya lagi, “apa asapnya itu”? Beliau menjawab, “adanya suatu kaum yang mengikuti sunnah selain sunahku dan mengambil petunjuk selain petunjukku. Kamu dapat mengenali mereka dan kamu akan mengingkari mereka”. (Shahih : HR Imam Bukhari no. 3338 dan Imam Muslim no. 1847)

Inilah hakikat Islam pada hari ini, pangkal kesesatan mereka adalah mengubah ajaran agama dan syariat. Adakah hal ini perlu didiamkan? Dan membiarkan seruan sebahagian orang, “biarkanlah mereka, mereka pun solat dan menunaikan tuntutan yang lain”? Ana melihat ini merupakan satu kesalahan kerana bertentangan dengan al-Quran dan hadits. Padahal Allah memerintahkan supaya hamba-Nya berpegang kepada agama-Nya dan mentaati Rasul-Nya, dan bukan selainnya. Firman Allah

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah,”(QS. ali-Imran 3:103)

“Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya kedalam syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar.”(QS. an-Nisaa’ 4:13)

Dan para ulama sendiri telah memperingatkan tentang hal ini, ana hanya menukil dari mereka dan ana sampaikan para antum akan hakikat kebenaran ini. Bahkan Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam telah menyatakan bahawa hal ini akan terjadi dan beliau perintahkan supaya kita kembali kepada agama dengan cara mentaati sunnahnya dan sunnah khulafa’ ar-Rasyidin. Hadits dari Irbadh bin Sariyah radiyallahu anhu, Nabi bersabda :

“Sesungguhnya sesiapa di antara kalian kelak yang hidup (berumur panjang), maka akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ rasyidin yang mendapat petunjuk..”(Shahih : HR Imam Abu Daud no. 4608, at-Tirmidzi no. 2676, Imam Ibnu Majah no. 44. Dan takhrij hadits ini telah dijelaskan oleh Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali di dalam kitabnya Limadza Ikhtartu Manhaji as-Salaf)

Cubalah antum perhatikan kitab-kitab karangan mereka, Ushul I’tiqad Ahlu Sunnah Wal Jamaah, Ushulus Sunnah. Akan jelas bagi antum bahawa mereka memperingatkan kita supaya berpegang dengan manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah. Amat sedikit sekali orang yang memperjuangkan aqidah yang sahih di zaman ini. Bagaimana tidak, aqidah yang sahih saja tidak dikenal, bagaimana ingin mendakwahkannya??

Jadi kembalilah kita kepada agama berdasarkan kepada kefahaman yang benar. Pemahamannya para sahabat dan 3 generasi terawal umat ini. Merekalah Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Maka memahami agama dengan menggunakan manhaj mereka bermakna kita telah berpegang teguh dengan sunnah nabi dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin. Dan inilah rekomendasi dari Nabi kepada kita umat akhir zaman dalam mengeluarkan diri dari belengu perpecahan dan pertikaian, masing-masing mengatakan merekalah yang benar, namun bertentangan dengan ajaran nabi kepada para sahabatnya.

Nasihat kedua : Perbetulkan Ibadahmu

Majoriti kaum muslimin pada hari ini tidak mengendahkan syarat-syarat diterima sesuatu ibadah. Sedangkan mereka dijadikan tidak lain adalah untuk tujuan ini, iaitu beribadah kepada Allah. Berdasarkan kepada firman Allah ;

“(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”(QS. al-Baqarah 2:112)

Para ulama telah menerangkan tentang syarat-syarat diterimanya ibadah, beradasarkan kepada dalil al-Quran dan Sunnah. Merujuk kepada ayat di atas sudah cukup untuk menjelaskan syarat-syarat diterimanya sesuatu ibadah.

Pertama, Ikhlas kepada Allah. Kedua, mengikuti petunjuk nabi.

Hal ini telah dijelaskan para ulama antaranya Mufassirin yang hebat Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat 112 surah al-Baqarah, beliau berkata :

“Dan berkata Sa’id bin Jabir : ayat bahkan barangsiapa yang menyerahkan bermakna mengikhlaskan, kemudian ayat wajhahu –diri- bermakna agamanya, dan ayat sedang ia berbuat kebajikan bermakna mengikut petunjuk (amalan) Rasulullah. Kerana bagi setiap amalan hanya diterima dengan 2 syarat. Pertama hendaklah dia mengikhlaskan (amalnya) kerana Allah semata-mata dan yang kedua, benar dan menepati syariat. Apabila amal hanya disertai dengan niat yang ikhlas namun tidak benar (menepati syariat), tetap tidak diterima. Oleh kerana Rasulullah telah bersabda “Barangsiapa yang beramal dengan suatu amal yang tidak kami perintahkan maka ia tertolak”, riwayat Muslim dari hadits Aisyah Radiyallahu ‘anha.” (Tafsir Quranil ‘Azhim oleh Ibnu Katsir di dalam ayat 112 surah al-Baqarah)

Tentang hal ini, ana meringkaskan dengan membuat perbandingan ibadah yang diajarkan oleh nabi dan sebahagian ibadah yang dilaksanakan oleh sebahagian kaum muslimin. Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam menyebutkan bahawa “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Shahih : HR Imam Bukhari no. 5549). Perhatikan beberapa hal di bawah

Pertama : Tatacara nabi bertakbir

“Baginda mengangkat kedua tangannya dengan membuka jari-jemarinya lurus ke atas, tidak merenggangkannya dan tidak pula mengenggamnya”. (Shahih : HR Imam Abu Daud, Hakim no. 821, Imam Ibnu Khuzaimah no. 446, disahihkan oleh Imam Hakim dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi)

Inilah petunjuk nabi, bahawa ketika bertakbir, beliau mengangkat kedua tangannya dan jari jemarinya lurus ke atas. Namun perlakuan sebahagian kaum muslimin, sebaliknya. Tapak-tapak tangan mereka yang lurus ke atas mengadap ke langit. Jelas-jelas ini satu kesalahan. Dan juga terlalu menggenggam dan merenggang.

Apabila ditanyakan kepada mereka dari mana kamu belajar, mereka menjawab kami belajar ketika di sekolah dahulu. Dan apabila dijelaskan kepada mereka, mereka melenting dan kemudian membidas dengan mengatakan, “apakah kamu menuduh kami salah selama ini?”. Ana katakan jika antum benar, buktikan hujah dan dalil antum yang Nabi mengajarkan sedemikian. Dan juga buktikan bahawa amal antum bakal diterima oleh Allah?

Namun hakikatnya berlainan dengan keadaan semasa, majoriti ulama mengatakan bahawa amal yang soleh yang diterima itu adalah apabila ikhlas dan mengikut sunnah.

Kedua : Tatacara menggerakkan jari ketika tasyahhud

Dari Abdullah bin Zubair radiyallahu anhu,

“Biasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam apabila duduk pada dua (rakaat) atau empat (rakaat) ia letakkan kedua tangannya atas kedua lututnya, kemudian beliau berisyarat dengan jari (telunjuk)nya”. (Shahih : HR Imam Nasa’ie, Imam Baihaqi)

“Biasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam apabila duduk pada duduk tasyahhud ia letak tangnnya yang kanan di atas pahanya yang kanan, dan tangan kirinya di atas pahanya yang kiri, lalu beliau berisyarat dengan jari telunjuknya, dan pandangannya tidak melampaui isyaratnya.” (Hasan Shahih : HR Imam Ahmad dan ini lafaznya, Imam Nasa’ie)

“Biasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam apabila duduk daam dua rakaat beliau hamparkan kaki kirinya dan menegakkan kkai kanannya dan dia letakkan ibu jarinya di jari tengah, dan beliau berisyarat dengan jari telunjuknya, dan dia meletakkan telapak tangan kirinya di atas paha kirinya dan telapaknya itu menutup lututnya.” (Shahih : HR Imam Muslim dan Imam Ibnu Hibban no. 1934 dan inilah lafaznya)

Beberapa perkara yang ana ingin sampaikan di sini, pertama tentang tempat letaknya ibu jari. Di dalam hadits ini diterangkan bahawa ibu jari diletakkan pada jari tengah.

Dalam sebahagian riwayat “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam melingkarkan ibu jari dan jari tengahnya” sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Majah no. 912.
Ini bermakna tempatnya ibu jari adalah bertemu dengan jari tengah dan membentuk lingkaran.
Kedua kedudukan mata, petunjuk dari Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam adalah kedudukan mata itu pada jari telunjuk. Ketiga jari telunjuk diisyaratkan saat mulai duduk tasyahhud dan bukannya pada lafaz Allah di dalam tahiyyat lalu digerakkan ketika itu. Ini jelas merupakan satu kekeliruan yang lahir dari kurangnya ilmu dalam melaksanakan ibadah solat pada Allah.

Di sini ana tidak membawa pendapat yang rajih mengenai apakah perlu digerakkan jari dari mulai duduk atau sekadar mengisyaratkannya saja walaupun ana memilih untuk menggerak-gerakkan.

Jika ingin dinilai dari setiap 13 rukun solat, pasti akan panjang risalah ini. Namun ana hanya bataskan hanya pada 2 persoalan ini, sekadar ingin membuka mata saudara-saudaraku mengenai hakikat petunjuk Nabi dalam beribadah kepada Allah. Dan membezakan amalan seharian kita dengan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam, apakah kita selama ini berlajar berdasarkan ilmu pengetahuan atau sekadar ikut-ikutan, berdasarkan dalil atau kata-kata ustaz. Dan begitulah seterusnya.

Di dalam Islam, Allah menuntut pada hamba-Nya supaya mengikuti petunjuk nabi-Nya dan kemudian beramal berdasarkan kepada hujah dan dalil. Imam Bukhari meletakkan satu bab yang khusus di dalam kitabnya yang agung Shahih Bukhari, iaitu bab al-Ilmu Qablu al-Qaul Wa ‘amal (Ilmu dituntut sebelum berkata dan beramal). Lihatlah kaum muslimin saat ini, adakah mereka beramal dengan ilmu atau sebaliknya?

Cukuplah ana membawakan ayat al-Quran ini untuk kita sama-sama muhasabah diri kita, andai kata kita seorang yang mencintai Allah dan rasul-Nya, maka selayaknya kita melaksanakan perintah ini, firman Allah :

“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. ali-Imran 3:31)

Mengikut petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam merupakan jalan keselamatan dan inilah jalannya para sahabat, sedangkan meninggalkan petunjuknya merupakan jalan menuju kecelakaan dan menuduh bahawa Nabi telah berlaku khianat terhadap risalah.

Allahu a’lam

Abu Hurairah al-Atsary
2.05 am Kota Kinabalu
26 Safar 1430/22 Feb 2009

Maraji’ (Rujukan)

1) Mengapa Memilih Manhaj Salaf Syaikh Salim ‘Ied Al-Hilali
2) Solatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Solat, Ust Rasul Dahri
3) Wuduk Dan Solat Menurut Mazhab Syafi’ie, Ust Abu Ruwais
4) Kitab Tauhid, Syaikh Shalih Fauzan
5) Syarah Arbai’in Nawawiyah, Ibnu Daqiqil ‘Ied
6) Hadits-Haidts Beserta Syarah Dan Kitab Tafsir, Software Maktabah Syamila
7) Al-Masaail, Ust Abdul Hakim Amir Abdat