048 - Sebab Pengampun Dosa

Sebab Pengampun Dosa

Allah Azza Wa Jalla mempunyai sifat Maha Pengampun. Dia juga mempunyai sifat maha menerima Taubat hamba-hamba-Nya. Alangkah ruginya nasib seorang insan yang telah melakukan dosa dan kemudian dia beranggapan bahawa Allah tidak akan menerima taubat dan mendengar rayuannya sehinggakan dia ini tadi terus terjebak di dalam maksiat dan tidak lagi kembali kepada jalan Allah. Inilah nasib bagi manusia yang tidak mengenal Tuhannya, Allah al-Ghaffar, at-Tawwab.

Sebanyak mana dosa yang telah dilakukan oleh seorang hamba, Allah pasti akan mengampuninya walaupun dosanya mencecah langit, walaupun dosanya memenuhi bumi, walau sebanyak manapun dosanya, pasti Allah akan mengampuninya.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Allah berfirman : Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. az-Zumar 39:53)

Dari Anas bin Malik Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam
قال الله تعالى : يا ابن آدم ! إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك على ما كان فيك ولا أبالي يا ابن آدم ! لو بلغت ذنوبك عنان السماء ثم استغفرتني غفرت لك ولا أبالي يا ابن آدم ! إنك لو أتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة

Allah tabaraka wa ta’ala berfirman “Wahai anak Adam! Sungguh selama engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, nescaya Aku ampuni semua dosa yang ada padamu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu mencecah setinggi awan di langit, kemudian engkau memohon ampunan kepada-Ku, nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya engkau menemui-Ku dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan-Ku sedikitpun, tentulah Aku akan memberikan pengampunan kepadamu sepenuh bumi.”
Takhrij Hadits

Hadist ini dari sahabat Anas bin Malik dan Abu Dzar al-Ghifari diriwayatkan oleh I1. Syaikh Albani menilai hadits ini hasan sebagaimana pendapat Imam Tirmidzi kerana seluruh perawi hadits ini dinilai tsiqah kecuali perawi bernama Katsir bin Fa’id dinilai maqbul (sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar di dalam at-Taqrib) dan hadits ini memiliki penguat dari hadist Abu Dzar al-Ghifari.

Mufradat Hadits

1) Perkataan “dan Aku tidak peduli” bermakna Aku tidak meremehkan permohonan ampunanmu kepada ku, walau dosa yang engkau miliki besar atau banyak. Sedangkan Imam at-Thibi berkata; tanpa dengan menanyakan apa yang dia kerjakan.

2) Perkataan -menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan-Ku sedikitpun bermakna meninggal dunia dalam keadaan bertauhid. (Tuhfatul ahwadzi bi Syarhi at-Tirmidzi 9/488, dinukil dari majalah as-Sunnah)

Syarat diampuni dosa

Walau sebanyak mana dosa yang dilakukan oleh seorang hamba, pasti akan diampuni oleh Allah dengan dinilai dari 3 perkara.
  1. Doa dan mengharap ampunan dari Allah
  2. Istighfar kepada Allah
  3. Mentauhidkan Allah (mati dalam keadaan tauhid)
Selagi mana kita melaksanakan 3 perkara di atas, pasti kita akan mendapatkan keampunan dari Allah. Tidak ada keselamatan kepada orang yang tidak metauhidkan Allah. Sedangkan orang yang mnetauhidkan Allah, adalah orang-orang yang paling tinggi rahabah (pengharapan) mereka kepada Allah dan Allah tidak akan menolak perintah yang paling agung ini iaitu tauhid.

Semoga Allah memberikan kepada kita taufiq untuk terus istiqomah memohon ampun kepada-Nya dan istiqomah dalam mentauhidkan-Nya. Allahul Muwaffiq (Disalin dan diringkas dari Majalah as-Sunnah Edisi 09/Tahun XI/1428H/2007M ms. 14)

Comments :

0 comments to “048 - Sebab Pengampun Dosa”