041 - Menjadi manusia yang bersegera kepada kebaikan

Menjadi manusia yang bersegera kepada kebaikan

Manusia terbahagi kepada 3 golongan sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam kitab-Nya yang mulia di dalam surah al-Fathir ayat 32
di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar.(QS. al-fathir 35:32)
Orang yang biasa mentadabburi al-quran, mesti akan terdetik di hatinya tatkala dia sedang membaca atau melewati ayat ini, "di kelompok mana satukah aku ini?"

Ayat ini memberikan pengaruh yang besar kepada hati orang-orang yang takut kepada Allah. Dia mentadabburinya dengan penuh cermat. Dia cuba mengaplikasikan makna dan pengajaran dalam ayat ini di dalam kehidupannya.

Bagaimana cara yang sepatutnya kita beramal dengan ayat tersebut?

Sebahagian orang berkeluh kesah, merintih kepada nasibnya, "Mengapa aku sering bermaksiat kepada Allah?", "Mengapa aku susah untuk menjadi hamba Allah yang soleh sebagaimana manusia yang lain?"..inilah ragam sebagian manusia, dia menangisi dirinya kerana dosa dan kesalahan yang dilakukan.

Namun, dia akan tersedar apabila melihat ayat yang sedang kita bicarakan di atas.

Pertama, Keluhannya terhadap dirinya membuktikan bahawa dia adalah orang yang masih mengakui keagungan Rabb-Nya, mengakui bahawa Malaikat yang berada di kiri dan kanannya mencatit dosa dan amal yang dilakukan, ini adalah bagian dari keimanannya kepada perkara ghaib.

Kedua, Allah tetapkan manusia untuk menjadi beberapa kelompok, jika seandainya dia memilih untuk menjadi kelompok yang bersegera kepada melakukan kebaikan, pasti dia tidak akan mengeluh kepada nasibnya yang sering bermaksiat. Jika dia memilih untuk melengah-lengahkan masa untuk mengerjakan kebaikan, maka dia tergolong kepada kelompok yang pertengahan, kerana orang yang berlengah-lengah lebih mudah untuk terlibat dalam maksiat kepada Allah.

Kerana apabila masa atau keadaan pada saat itu tidak ditegakkan dengan kebenaran dan amal soleh, pasti maksiat dan kebatilan yang akan datang bertandang, inilah saat yang dinanti-nanti oleh Syaitan yang sekian lama memerhatikan peluang untuk menambahkan temannya di dalam neraka.

Tapi, jika dia memilih untuk menunda kebaikan dan taubat kepada Allah, kemudian dia lebih memilih dosa dari pahala, maka dia tergolong di dalam kelompok orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Di sinilah petunjuk atau check point bagi diri seorang muslim itu, apakah dia seorang yang sering mendahulukan redha Allah atau redha hawa nafsunya. Semuanya tergantung daging yang ada di dalam dirinya yang bernama hati.

Ketiga, ayat ini memberikan kesedaran kepada manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, sering salah dan terleka. Namun sebaik-baik orang tersalah adalah orang yang bertaubat kepada Allah. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam
Setiap bani adam itu melakukan dosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat kepada Allah (Hasan: Shahih wa Dhaif Jami'us Shaghir no. 8644)
Lalu dengan dosa yang telah dilakukan tadi, membuatkan dia mengeluh/menyesal dari perbuatan dosanya tadi. Ini juga satu bentuk dari taubat kepada Allah kerana sabda Nabi
"Penyesalan itu adalah taubat" (Shahih : Sunan Ibnu Majah no. 4252)
Apa yang perlu dilakukan oleh orang yang berdosa?

Jawabnya, hendaklah mereka kembali bertaubat kepada Allah dan mempertingkatkan amal dan ketaqwaan mereka kepada Allah. Jangan sesekali mereka lemah dengan dosa yang telah lalu, kerana lemah dari bertaubat kepada Allah adalah satu bentuk keterputus asaan. Sedangkan Allah adalah Dzat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia akan menukarkan satu kaum yang tidak berdosa kepada-nya kepada kaum yang melakukan dosa dan kemudian mereka bertaubat kepada-Nya.

Jadi, kembalinya seseorang itu kepada Allah dengan mengakui kelemahan dirinya, maka akan memberikan motivasi kepada hatinya bahawa dia perlu menjadi hamba yang bersegera kepada ketaatan kepada Allah agar dia tidak lagi termasuk di dalam kalangan orang-orang yang bermaksiat kepada Allah, dan inilah golongan yang paling utama. Paling tidak pun di kalangan kelompok yang kedua iaitu yang berada di pertengahan, kadang-kadang dia melakukan ibadah kepada Allah, dan terkadang dia bermaksiat kepada-Nya.

Allahu Ta'ala a'lam







Comments :

0 comments to “041 - Menjadi manusia yang bersegera kepada kebaikan”