029 - Dasar Terpenting Dalam Islam (Syarah Hadis Pertama Arba'in)

Dasar Terpenting Dalam Islam

سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امريء ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه

Diriwayatkan dari Umar al-Khaththab radiyallahu ‘anhu beliau berkata : Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: "amal perbuatan itu bergandung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan balasan sesuai dengan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk kesenangan dunia yang didapatnya atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya itu hanya kepada apa yang diniatkannya." (Muttafaq ‘alaihi)

Takhrij Hadits :

Hadis diriwayatkan secara sendirian oleh Yahya bin Sa’id al-Anshori daripada Muhammad bin Ibrahim at-Taimi daripada al-Qomah bin Abi Waqash al-Laitsi daripada Umar al- Khaththab, dan tidak ada bagi hadis ini thoriq (jalan) yang sahih selain dari jalan ini seperti yang dikatakan oleh Ali bin al-Madini dan selainnya. Dan berkata al-Khaththabi : “Aku tidak mengetahui adanya khilaf diantara ahli hadits tentang perkara ini sedangkan hadis ini telah diriwayatkan dari Abi Sa’id dan selainnya”

Ada yang berkata : telah diriwayatkan hadis ini daripada thoriq yang banyak akan tetapi diantaranya tidak ada satupun yang sah di sisi para huffadz. (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam syarah Hadis Pertama)

Ada juga yang berkata bahawa hadis ini diriwayatkan lebih dari 200 orang. Dan ada pula yang berkata ia diriwayatkan oleh 700 orang perawi antara mereka al-Imam Malik, Sufyan ats-Tsaury, al-Auza’ie, Ibnul Mubarak, al-Laits bin Sa’ad, Hummad bin Zaid, Syu’bah dan Ibnu ‘Uyainah dan selain mereka. Dan telah sepakat para ulama akan kesahihan hadis ini dan kewajipan untuk menerimanya. (Jami’ul ‘Ulum wal Hikam)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari (1/9 Fathul Bari) dan Imam Muslim (no. 1907)

Pelajaran hadis :

Imam Syafi’e berkata : “hadis ini merupakan satu pertiga ilmu (1/3) dan ia termasuk di dalam tujuh puluh (70) bab Fiqh”

Imam Ahmad Bin Hanbal berkata : “Asas-asas islam terdiri dari tiga (3) buah hadis

Pertama : Hadis Umar - إنما الأعمال بالنيات – (sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat) [Hadis Muttafaq ‘alaihi]

Kedua : Hadis ‘Aisyah - من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد – (Barangsiapa yang melakukan dalam agama kami sesuatu yang bukan dari ajarannya, maka ia tertolak) [Hadis Riwayat Bukhari no. 2499]

Ketiga : Hadis Nu’man bin Basyir - الحلال بين والحرام بين – (Yang halal itu jelas dan haram itu jelas) [Hadis Riwayat Bukhari no. 50]

Berkaitan hadis ini, terdapat banyak perkataan para ulama mengenainya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Rajab di dalam kitabnya. Namun untuk mempersingkat perbahasan, saya hanya menukilkan perkataan Imam Ahmad sahaja kerana keseluruhan komentar para ulama masih lagi berkaitan dengan perkataan Imam Ahmad. Allahu a’lam

Penjelasan hadis :

Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahmad, hadis ini termasuk di dalam dasar-dasar Islam. Imam Ibnu Rajab berkata : “Sesungguhnya keseluruhan agama ini merujuk kepada segala suruhan, meninggalkan larangan dan tidak melakukan perkara yang diragui. Kesemua ini terkandung di dalam hadis Nu’man bin Basyir.

Perkara tersebut menjadi sempurna dengan dua perkara :
Pertama - Amalan tersebut bertepatan dengan sunnah sebagaimana hadis dari ‘Aisyah - من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد – (Barangsiapa yang melakukan dalam agama kami sesuatu yang bukan dari ajarannya, maka ia tertolak.)

Kedua : amalan tersebut pada batinnya untuk mendapatkan keredhaan Allah azza wa jalla seperti yang terjandung di dalam Hadis Umar - الأعمال بالنيات – Segala amalan itu tergantung kepada niat.
Berkata Fudhail Bin Iyadh mengenai firman Allah - ليبلوكم أيكم أحسن عملا- (untuk Dia menguji diantara kamu siapa yang lebih baik amalannya),[al-Mulk 67:2] iaitu :
ikhlas dan paling tepat amalannya (mengikuti sunnah). kerana sesuatu amalan apabila ia ikhlas namun tidak tepat (tidak mengikut sunnah) tidak akan diterima, dan apabila ia tepat (mengikut sunnah) namun tidak ikhlas maka ia juga tidak diterima sehinggalah amalan itu menjadi ikhlas dan tepat. Ikhlas itu adalah amalan yang dilakukan kerana Allah azza wa jalla dan amalan yang tepat itu ialah apabila dilakukan beradasarkan sunnah sebagaimana Firman Allah - فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا ولا يشرك بعبادة ربه أحد- . (Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam hadis pertama)
Perkataan Imam Ibnu Rajab ini merupakan kata-kata yang sangat mengesankan hati-hati kaum muslimin yang tunduk takut serta mengharap kepada Tuhan mereka. Sebagaimana yang dimaklumi, islam itu terdiri dari i’tiqod dan amal perbuatan.

Poin pertama : Jika sekiranya amalan yang dilakukan tidak memiliki keikhlasan maka ia tertolak.

Poin Kedua : Begitu juga jika amalan yang dilakukan ikhlas namun tidak menepati sunnah, maka ia juga tertolak.

Dengan dua poin di atas, cuba kita kaitkan dengan kata-kata Imam Ibnu Rajab : “Sesungguhnya keseluruhan agama ini merujuk kepada segala suruhan, meninggalkan larangan dan tidak melakukan perkara yang diragui” iaitu Kita disuruh untuk beramal ibadah kepada Allah dengan ikhlas dan menepati sunnah Nabi-Nya. Kita ditegah daripada melakukan perkara yang dilarang seperti syirik, bid’ah dan maksiat. Kita diminta untuk berhati-hati daripada perkara-perkara yang syubhah.

Jika keseluruhan perintah agama ini baik ia perintah atau larangan yang tidak didasari dengan niat yang ikhlas kerana Allah, maka tidak ada gunanya segala amal perbuatan yang telah dilaksanakan. Inilah yang membuatkan hati para mukminin bergetar kerana takut segala amalnya ditolak oleh Allah.
Semuanya terangkum di dalam firman Allah :

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya." (QS. al-Kahfi 18:110)

Kerana seorang mukmin itu, sifatnya adalah takut dan mengharap. Di mana dia ingin mencari tempat perlindungan jika sekiranya segala amalannya saat dibentangkan di akhirat kelak ditolak oleh Allah? Semuanya itu berpaksi kepada niat dan mutaba'ah (mengikuti sunnah Nabi).

Firman Allah - untuk Dia menguji diantara kamu siapa yang lebih baik amalannya- iaitu ujian tentang keikhlasan dan juga mengikuti sunnah nabi sentiasa berjalan sehinggalah seseorang itu kembali kepada Tuhannya.

Oleh itu, mempelajari dan mengenal jalan menuju niat yang ikhlas sangat amat dituntut bagi diri setiap muslim agar dia dapat terselamat dari penyakit yang dapat mencacatkan keikhlasan. Begitu juga dengan amal yang tepat iaitu mengikuti sunnah, barulah dia dapat menepati ciri-ciri orang yang beramal soleh sebagaimana firman Allah - Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya-. Dan inilah dasar terpenting yang wajib diketahui oleh setiap muslim.

Berkata Syaikh Salim Bin Ied al-hilali :
Amal-amal soleh harus disertai dengan niat-niat yang baik. Niat-niat yang baik tidak akan mengubah kemungkaran menjadi kebaikan dan bid’ah menjadi sunnah. Banyak orang yang mengharapkan kebaikan namun ramai yang tidak menggapainya.

Ikhas kerana Allah merupakan satu syarat diterimanya amal perbuatan. Sebab Allah tidak akan menerima amal perbuatan yang tidak tulus dan benar. Yang paling tulus adalah yang dilakukan kerana Allah dan yang paling benar adalah yang sesuai dengan Sunnah Rasulullah yang sahih. (Bahjatun Nazhirin Syarah Riyadhus Shalihin hadis Umar al-Khaththab)

Allahu a'lam
Rujukan :
1) Jami'ul 'Ulum Wal Hikam, Ibnu Rajab (Arab, maktabah syamila)
2) Himpunan Ilmu Dan Hikmah (terbitan Pustaka Salam)
3) Syarah Riyadhus Shalihin, Syaikh Salim Bin 'Ied al-Hilali


Comments :

0 comments to “029 - Dasar Terpenting Dalam Islam (Syarah Hadis Pertama Arba'in)”